Rayer diusir lepas berang Tiong dakwa Noor Hisham ‘takut mati’

Rayer diusir lepas berang Tiong dakwa Noor Hisham ‘takut mati’

PARLIMEN | Dewan Rakyat bertukar kecoh seketika hari ini setelah berlaku pertikaman lidah di antara Anggota Parlimen Bintulu, Tiong King Sing, dan Anggota Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Ia bermula selepas Tiong mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah “takut mati” kerana tidak hadir sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan wabak Covid-19 di negeri itu.

“DG (Dr Noor Hisham) takut mati sebab dia tak turun di Sabah, tak lockdown awal-awal di penjara,” katanya.

Mendengar kenyataan tersebut, Rayer bangun sambil meminta Tiong menarik balik kenyataan tersebut.

Bagaimanapun Duta Khas Perdana Menteri ke China itu enggan menarik balik kata-katanya.

Kata Rayer, dia tidak akan membenarkan Tiong “menghentam” Noor Hisham dan menganggap ia sebagai tindakan “kurang ajar”.

“Saya tidak benarkan dia (Tiong) hentam DG (Dr Noor Hisham), dia adalah petugas barisan hadapan, jangan kurang ajar, Bintulu.

“Jangan hina pegawai kerajaan,” jerit Rayer.

Minta Azalina tegur

Suasana kemudian bertambah panas apabila Shahidan Kassim (BN-Arau)mula menjerit dan meminta Rayer duduk.

Timbalan Speaker Azalina Othman Said kemudian meminta Rayer untuk duduk dan memberi amaran akan mengusirnya keluar dari Dewan Rakyat jika tidak berbuat demikian.

“Jelutong tolong duduk, saya nak buat ruling (ketetapan)… I am warning you (saya memberi amaran kepada kamu), kalau tak duduk saya akan keluarkan,” katanya.

Namun Rayer enggan mengikuti arahan Azalina. Sejurus kemudian Azalina mengarahkan wakil DAP berkenaan keluar dari dewan.

Sejurus selepas Rayer keluar Dewan, Azalina memberi dua pilihan kepada Tiong sama ada untuk menarik balik kenyataannya atau menjelaskan perkara yang disebutkannya.

Bagaimanapun, Tiong tetap enggan menarik balik kenyataannya.

“Ini suara petugas barisan hadapan, jadi saya tidak mahu tarik balik. Selalu (Noor Hisham) hantar orang. Dia kena pergi jugalah,” tegas Tiong.

Keadaan kemudian kecoh kembali selepas beberapa anggota parlimen bangun dan meminta Azalina untuk menegur Tiong ekoran kenyataannya.

Setelah itu, Azalina meminta supaya ahli parlimen bertenang dan Tiong mula berbahas semula.

SUMBER : https://m.malaysiakini.com/news/550438

COMMENTS