PM mungkin terpaksa pertimbang peruntukan Jasa

PM mungkin terpaksa pertimbang peruntukan Jasa

Anggota parlimen pembangkang yang sebelum ini menunjukkan kesediaan menyokong Belanjawan 2021 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini mempertimbangkan pilihan lain.

Ini selepas kontroversi mengenai pengumuman kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperuntukan RM85.5 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), yang sebelum ini bertindak sebagai unit propaganda.

Beberapa ahli parlimen pembangkang yang dihubungi Malaysiakini menyatakan bantahan terhadap peruntukan tersebut dan kini mempertimbangkan bagaimana untuk mengundi belanjawan berkenaan.

Bagaimanapun mereka hanya akan membuat keputusan muktamad setelah berunding dengan parti masing-masing.

Yang lain, bagaimanapun, berkata mereka akan mengundi menentang belanjawan jika kerajaan tidak membatalkan rancangan membelanjakan RM85.5 juta kepada unit propaganda berkenaan dalam tempoh kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang dari DAP.

“Tidak ada alasan bagi kerajaan PN untuk mewujudkan semula Jasa ketika kita sudah memiliki agensi berita nasional Bernama. RM85.5 juta boleh diberikan kepada barisan hadapan.

“Saya pasti akan menolak Belanjawan 2021 ini jika Muhyiddin berkeras untuk menghidupkan kembali Jasa,” katanya.

Muhyiddin masih boleh melulusan Belanjawan 2021 tanpa sokongan bipartisan, namum memerlukan sokongan sebulat suara ahli parlimen kerajaan kerana majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Muhyiddin mempunyai sokongan 113 anggota Parlimen di Dewan Rakyat daripada keseluruhan 222 anggota parlimen, yang hanya mempunyai kelebihan dua kerusi daripada sokongan minimum 111 anggota parlimen.

Namun, pembangkang kini kekurangan satu kerusi di parlimen berikutan kematian Ahli Parlimen Warisan, Batu Sapi, Liew Vui Keong.

Cubaan agar Belanjawan 2021 diluluskan mengikut garis parti juga berisiko kerana ada juga ahli parlimen dari kerajaan berhasrat menolak belanjawan, khususnya Umno.

Sebilangan ahli parlimen Umno tidak senang dengan usaha menghidupkan kembali Jasa walaupun sebelum ini ia berfungsi sebagai cabang propaganda parti itu.

MP Umno mahu lebih banyak justifikasi

Ahli Parlimen Pasir Salak Umno Tajuddin Abdul Rahman meminta kerajaan menyatakan justifikasi peruntukan RM85.5 juta kepada Jasa.

“Apa yang mereka mahu lakukan dengannya? Adakah projek ini bertujuan untuk rakyat?

“Jika mengenai penyebaran maklumat mengenai kerajaan, kita sudah memiliki Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Jadi, apa jenis maklumat yang akan diberikan oleh Jasa? Bukankah itu akan bertindih?” soal Tajuddin kata kepada Malaysiakini.

Ketika ditanya apakah beliau akan menyokong belanjawan jika peruntukan terhadap Jasa dipertimbang semula, Tajuddin berkata dia mahukan lebih banyak maklumat daripada kerajaan.

“Bukannya kita tidak setuju tetapi kita ingin tahu untuk apa peruntukan ini? Apa projek dan aktivitinya?

“Kami ingin tahu sama ada ia ada justifikasi. Kami ingin tahu apa yang mereka mahu lakukan dengannya,” katanya.

Anggota majlis tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, yang memimpin Jasa sebagai ketua pengarah sebelum pembubarannya pada 2018, lebih awal membangkitkan kebimbangan Umno.

Umno sebelum ini merasa selesa dengan Jasa kerana pada dasarnya bertindak sebagai cabang propaganda parti itu sehinggalah kerajaan BN ditumbangkan pada 2018.

Kerajaan Pakatan Harapan membubarkan Jasa selepas berkuasa pada pilihan raya umum 2018 selama 22 bulan sebelum digantikan oleh PN. Umno kini hanya menjadi rakan kongsi Bersatu dan bukannya parti dominan dalam kerajaan.

Puad dalam hantaran di Facebook, mempersoalkan apakah Bersatu berhasrat menggunakan Jasa untuk memperkuat parti itu bagi mengimbangi kekurangan sokongan akar umbi.

Dia dalam pada itu turut mencadangkan agar belanjawan diubah termasuk kemungkinan mengurangkan peruntukan RM85.5 juta tersebut.

PH pertimbangkan tindakan bersama

Terdapat juga tentangan keras dalam komponen Pakatan Harapan yang lain.

“Peruntukan untuk Jasa terlalu besar dan kita tahu itu untuk propaganda. Dan pada masa seperti ini (semasa wabak melanda), tidak tepat. Peruntukan itu boleh digunakan untuk rakyat,” kata naib presiden Amanah, Mahfuz Omar.

Bagaimanapun Mahfuz berkata sebarang keputusan akan dilakukan secara kolektif oleh PH dan mahu Amanah dirundingkan dalam gabungan itu.

Pandangan Mahfuz disokong Naib Presiden PKR Chang Lih Kang.

“Berdasarkan latar belakang dengan Jasa, ini tidak boleh dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, pendirian rasmi mengenai perkara itu hanya akan dibuat setelah melakukan rundingan.

Seorang lagi anggota parlimen PKR, Tan Yee Kew berkata pembangkang juga perlu mempertimbangkan kesan terhadap undi Belanjawan 2021 di sebalik rasa tidak bersetuju dengan peruntukan untuk Jasa.

“Perdana menteri harus menarik balik (peruntukan untuk Jasa). Sekarang bukan hanya anggota parlimen pembangkang yang melakukan protes, tetapi juga orang biasa.

“Pada saat yang sama, apakah kesannya jika kita menolak belanjwan? Kita tidak ingin melihat rakyat sengsara pada masa ini, mereka sudah mereka menderita, mereka sedang menunggu bantuan kewangan.

“Oleh itu, kita harus melihat ini. Kita akan minta agar belanjawan itu dipinda,” kata anggota parlimen Wangsa Maju itu kepada Malaysiakini.

Tan berkata bahawa dia akan mengikut keputusan PKR setelah parti itu memutuskan perkara tersebut.

Pembangkang menerima tekanan kerajaan untuk menyokong Belanjawan 2021 setelah Yang Di-Pertuan Agong menitahkan pentingnya belanjawan tersebut diluluskan terutama untuk memerangi Covid-19.

Akan tetapi, belanjawan tersebut akan diundi berdasarkan kementerian dan bukannya secara keseluruhan selain pembangkang boleh menggunakan pengundian taktikal.

Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftarkan menunggu pengerusinya Dr Mahathir Mohamad, yang juga anggota Parlimen Langkawi, untuk membuat keputusan, kata Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh.

Sebelumnya ini Mahathir dikatakan mungkin mempertimbangkan untuk menyokong Muhyiddin jika Umno cuba memecah-belahkan kerajaan setelah dia bertemu dengan wakil dari kerajaan PN.

Namun, Mahathir menafikan dakwaan tersebut. Pejuang mengatakan parti itu hanya akan memberikan sokongan untuk Belanjawan 2021 selepas meneliti perinciannya terlebih dahulu.

Sementara itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mengasaskan parti baru Muda membantah peruntukan RM85.5 juta untuk Jasa dan meminta ia diagihkan untuk membantu pelajar universiti.

“Saya akan mengemukakan masalah ini semasa perbahasan parlimen dan meminta agar peruntukan Jasa diagihkan semula untuk membantu pelajar universiti kita yang ketinggalan dalam belanjawan.

“Belanjawan masih boleh dipinda,” kata anggota parlimen Muar itu kepada Malaysiakini dalam pesanan ringkas melalui WhatsApp.

Syed Saddiq merupakan satu-satunya ahli parlimen yang mewakili parti itu. Sebelum ini, dia dispekulasikan akan menyertai Pejuang Mahathir, namun akhirnya mengasaskan Muda.

Dalam catatan Facebook dua hari yang lalu, Syed Saddiq menyatakan dengan jelas bahawa dia menolak peruntukan kepada Jasa.

“Saya ingin mengulangi bahawa tidak perlu setuju peruntukan kepada Jasa di Dewan Rakyat.

“Bukan hanya propaganda kerajaan, tetapi keadaan semasa menuntut kerajaan untuk fokus pada sektor kesihatan dan pendidikan.

“Saya menolak peruntukan untuk Jasa dalam Belanjawan 2021,” katanya

SUMBER :https://www.malaysiakini.com/news/550106

COMMENTS