Isu Shaheizy Sam, Penganjur Kesal Artis Tak Peka.

Isu Shaheizy Sam, Penganjur  Kesal Artis Tak Peka.

Penganjur Anugerah Bintang Popular Berita Harian 33 (ABPBH 33) amat kesal dengan penampilan pelakon Shaheizy Sam yang menggantung rokok elektronik atau vape ketika naik ke pentas bagi mengumumkan pemenang anugerah yang berlangsung malam tadi.

Di dalam kenyataan yang dikongsikan awal hari ini, pihak penganjur menjelaskan adalah menjadi peranan selebriti dalam memastikan apa sahaja yang dilakukan tidak mendatangkan persepsi tidak baik dan sebelum ini, mereka yang terlibat telah diberi penerangan berhubung tata susila dan etika dalam berpakaian.

“Semua artis telah diberi penerangan berhubung tata susila dan etika berpakaian, bukan sahaja untuk menghadiri majlis berprestij seperti ABPBH, malah kepada semua penyampai anugerah.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap artis untuk memastikan tingkah laku mereka tidak mendatangkan persepsi negatif kepada acara yang dihadiri sekali gus boleh menjejaskan imej artis-artis lain serta industri hiburan secara am,”

Menurutnya, bintang tersebut sepatutnya lebih peka dan menghormati pihak penganjur, artis-artis lain dan industri hiburan serta penonton.

“Tidak kira apa alasan yang diberikan, Shaheizy Sam yang pernah memenangi gelaran Bintang Paling Popular ABPBH sebanyak tiga kali (ABPBH 2010, ABPBH 2012 dan ABPBH 2014) dan juga sebagai seorang artis berpengalaman sepatutnya lebih peka dalam menghormati pihak penganjur, artis-artis lain dan industri hiburan serta penonton di rumah.

“Pihak penganjur sudah bekerja keras untuk memastikan acara berjalan lancar serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), malangnya insiden ini mencalarkan kredibiliti ABPBH 33. Perkara ini adalah amat dikesali pihak penganjur,”

Terdahulu, Sam yang tampil mengenakan baju Melayu lengkap bersamping bersama beberapa vape tergantung di lehernya ketika mengumumkan pemenang anugerah tular sejak malam tadi lalu menerima reaksi pelbagai netizen.

Dalam perkembangan lain, ABP33 menyaksikan kemenangan penyanyi muda, Haqiem Rusli sebagai Bintang Paling Popular dengan undian melebihi 22 juta undi.

Sumber : https://www.budiey.com/isu-shaheizy-sam-penganjur-abpbh-33-kesal-artis-tak-peka-ini-kenyataan-penganjur-abpbh33/

COMMENTS