Akhirnya, Selepas empat hari anggap KP Kesihatan “takut mati”, King Sing mohon maaf

Akhirnya, Selepas empat hari anggap KP Kesihatan “takut mati”, King Sing mohon maaf

Tampil dalam kenyataan media hari ini dengan hanya tiga perenggan, Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, akhirnya memohon maaf selepas mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai “takut mati”.

Permohonan maaf oleh pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) itu dibuat selepas empat hari keterlanjuran ucapannya ketika perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

“Bagi memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat yang lancar demi kepentingan serta keharmonian negara, saya membuat permohonan maaf sekiranya ada keterlanjuran kata ketika perbahasan Belanjawan 2021.

“Langsung tidak terdetik untuk saya menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan,

“Saya hanya berniat untuk membahas soal Covid-19 yang membimbangkan rakyat supaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Saya tidak mahu kerana saya, seluruh urusan Dewan Rakyat yang mulia ini terganggu,” jelasnya.

Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China bertaraf Menteri itu pada 11 November lalu menganggap Dr Noor Hisham sebagai individu ‘takut mati’ kerana gagal turun padang khususnya ke Sabah.

Tuduhannya bahawa Dr Noor Hisham hanya mencari publisiti menerusi sidang media yang dikendalikan setiap hari itu juga mengundang kecaman rata-rata rakyat berbilang kaum dan merentas fahaman politik kepartian.

Selain desakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang menuntut King Sing memohon maaf, pemimpin GPS, yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah juga menganggap kenyataan “takut mati” itu sebagai tidak wajar, mengejutkan dan memalukan.

Sumber : https://malaysiadateline.com/selepas-empat-hari-anggap-kp-kesihatan-takut-mati-king-sing-mohon-maaf/

COMMENTS