ADUN, Exco Kelantan lega kenaikan gaji lulus hari ini

ADUN, Exco Kelantan lega kenaikan gaji lulus hari ini

KOTA BHARU – Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan menerima kenaikan gaji apabila rang undang-undang untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Dewan Negeri 1980 disokong serta diluluskan oleh Persidangan DUN Kelantan (Belanjawan), hari ini.

Pindaan yang membolehkan kenaikan dan penyelarasan gaji dilakukan itu dibaca oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan disokong oleh Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

“Pindaan ini dikemukakan berikutan faktor masa kini yang mencabar kepada anggota-anggota pentadbiran dan ahli-ahli dewan negeri. Rang undang-undang ini juga sebagai satu penyelarasan elaun antara anggota-anggota pentadbiran dan ahli-ahli dewan negeri dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

“Selain daripada itu, tugas anggota-anggota pentadbiran dan ahli-ahli dewan negeri bertambah berat dan membawa harapan yang tinggi daripada rakyat terutama berhadapan dengan suasana pandemik koronavirus (Covid-19).

“Oleh demikian, kerajaan mencadangkan, pindaan dibuat ke atas enakmen tersebut sepertimana termaktub dalam senarai rang undang-undang yang dikemukakan.

“Adalah diharapkan cadangan yang dikemukakan ini akan mendorong anggota-anggota pentadbiran dan ahli-ahli dewan untuk bekerja lebih bertanggungjawab dan gigih bagi membantu meningkatkan khidmat kepada orang ramai pada tahap maksimum,” kata beliau.

Tiada penggulungan dibuat melibatkan pindaan tersebut kerana ia tidak dibahaskan oleh mana-mana kepimpinan yang ada.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat di negeri itu akan menikmati kenaikan gaji pokok sekitar RM3,000 hingga RM5,000 jika perkara tersebut diluluskan dalam pembentangan di Persidangan DUN Kelantan hari ini.

SUMBER : https://www.sinarharian.com.my/article/109352/EDISI/Kelantan/ADUN-Exco-Kelantan-naik-gaji

COMMENTS